OGOS 2023

Sarawak Mahu Contohi Institusi Ombudsman Sweden


STOCKHOLM: Mencontohi model amalan terbaik institusi Ombudsman Sweden adalah langkah tepat bagi memastikan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yakin institusi tersebut adalah contoh terbaik untuk diikuti susulan ia adalah antara yang tertua di dunia sejak 1809.

“Maka model Ombudsman Sweden sebagai Ombudsman pertama dan tertua di dunia akan menjadi tempat rujukan terbaik,” katanya semasa mengetuai rombongan Kerajaan Sarawak menghadiri taklimat penanda aras bersama Ketua Ombudsman Parlimen Sweden Erik Nymansson di Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden di sini semalam.

Tambah beliau, Sarawak bakal melakukan pengubahsuaian dan penyesuaian untuk memenuhi keperluan sistem, budaya dan amalan tempatan seiring hasrat Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Disebabkan itu, beliau yakin aspirasi ini harus dilengkapkan dengan amalan terbaik ketelusan, tadbir urus yang baik dan integriti dalam agensinya berikutan institusi Ombudsman penting dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat sekali gus menggalakkan tadbir urus yang baik dan berkesan.

Terdahulu, Premier Sarawak dan rombongan selamat tiba di Stockholm dalam rangka lawatan kerja rasmi dua hari di Sweden bermula semalam.

Turut mengiringi beliau, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Ketibaan Abang Johari disambut Duta Besar Malaysia ke Sweden Hafizah Abdullah, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Persekutuan Sarawak Ahmad Nazri Mohd Hassan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

Sumber dari : Jiwa Bakti